CUTI-CUTI MALAYSIA:
Percutian Berkembar : 5.6. dan 4.5.
Percutian pada tahun ini sangat istimewa bagi diriku dan isteri tersayang. Ma-na-kan tidak, semua ahli keluarga sebelah aku akan berkumpul di Perak, lokasinya Hutan Melintang. Adik bongsu aku yang baru mendapat cahaya mata pertama ingin mengadakan kenduri aqiqah di rumah mertuanya. Selepas majlis tersebut, perancangannya ialah ke Langkawi, Kedah. Aku gembira kerana dapat berkumpul buat pertama kali selepas kematian ibuku pada hujung 2018, mendapat seorang lagi anak saudara lelaki dan berkunjung ke Tanah Lagenda Mahsuri untuk kali ke-5 atau mungkin ke-6, aku dah lupa.
Kami sekeluarga memang sangat rapat, sering berkumpul dan makan bersama sejak kecil lagi. Walaupun aku pernah tinggal dengan datuk dan nenek selama 5 tahun, dengan abang sulung berlainan ibu hampir 10 tahun sejak berumur 6 tahun, namun pada cuti sekolah aku mesti pulang ke Parit Raja untuk bersama adik beradik kandung. Aku ada seorang adik lelaki dan 3 orang adik perempuan sebapa dan seibu, dua orang kakak berlainan ibu dan seorang kakak berlainan bapa, dua orang abang berlainan ibu dan seorang abang berlainan bapa. Ayahku duda dua kali, selepas pencen membawa empat orang anak berjumpa janda anak dua, usha punya usha.....nampak jambu aje....berkahwinlah dua pasangan, selepas bapak aku bersara daripada jawatan Penyelia Estet, di Jorak Elahi, Jalan Parit Jalil, Tongkang Pechah. Diceritakan, selepas bersara bapaku bekerja sebagai penjaja makanan menggunakan roda tiga(beca). Pada usianya 58 tahun aku lahir dan bapak aku berpindah ke Parit Raja pada tahun 1972. Bapa aku memulakan perniagaan kedai makan secara kecil-kecilan di sebuah gerai Majlis Perbandaran Daerah, Jalan Sekolah Tun Ismail, Parit Raja. Kami tinggal menyewa di sebuah rumah kecil yang mana tuannya adalah keluarga berbangsa Cina. Jadi, bersama keluarga baru, aku ada 5 beradik semuanya.
Berbalik kepada perjalanan percutian kali ini, sebanyak enam keluarga menyertainya. Adik perempuan aku yang pertama bertindak sebagai ketua pengarah yang mengurus semuanya, adik perempuan kedua dan ketiga timbalannya, manakala yang lain memberi cadangan dan pendapat sebagai tanda sokongan. Segala perbelanjaan kami 6 keluarga mereka bertiga yang susun dengan sedikit bantuan daripada isteriku. Kami hanya menyerahkan sejumlah wang kepadanya.
Sebagaimana yang dibincang dan dipersetujui, pada 6.00 pagi 7 Disember 2019, aku dan isteri bertolak ke Perak dengan memasuki laluan tol Utara Selatan di Air Hitam, Batu Pahat. Adik lelaki aku sekeluarga dan kakak aku sekeluarga bersama menantunya juga dari Parit Raja bertolak agak lambat sedikit, maklumlah mereka mempunyai anak-anak kecil yang perlu diberi perhatian. Mereka memandu menggunakan Perodua Alza dan Nissan, juga mengikut laluan yang sama. Kami berjanji untuk berjumpa di R&R Seremban. Pengurus percutian pula bertolak dari Kuantan, manakala adik perempuan ke-dua aku dengan Toyota Alphad dari Kuala Lumpur. Kami berjanji untuk terus berkumpul di Hutan Melintang dengan ketetapan masa lebih kurang jam 3.30 petang.
Perjalanan menyusuri Lebuhraya Utara Selatan memang tidak mendatangkan sebarang masalah. Pemandu hanya perlu memastikan kondisi kereta berada dalam keadaan baik. Perkara penting untuk pemanduan jauh ialah buat pemeriksaan di bengkel seminggu awal; minyak hitam, air, bateri, bunga tayar dan air-cond.
Kira-kira 2 jam pemanduan, kami tiga keluarga berjumpa di R&R Seremban dan bersarapan bersama-sama. Mereka membawa bekal dan kami berdua membeli makanan sahaja.
Selesai makan dan berborak-borak sambil mengusik-ngusik kami meneruskan semula pemanduan dengan jangkaan pertemuan 3 kali di R&R sebelum sampai ke Hutan Melintang. Alahamdulillah, perjalalan kami tidak menempuh banyak rintangan, bumi hijau memang masih menebal di Perak dan pembangunan tetap pesat. Lebih kurang jam 3.30 petang, semua keluarga telah berkumpul di rumah mertua adik perempuan bongsu aku. Kami dilayan dengan baik sekali, pelbagai hidangan dan menu pencuci mulut menjamah tekak yang memang kelaparan. Selepas makan, kami berehat sambil bercerita tentang perjalanan ke sini.
Ini adalah percutian keluarga kali pertama yang disertai oleh kesemua adik beradik sebelah bapak aku di luar kawasan selepas kematian ibu tercinta dua tahun dahulu iaitu hujung 2018. Sebelumnya, kami saban tahun berkumpul di rumah arwah ibuku. Kami sering bersama-sama membuat pelbagai aktiviti di rumah, dimana adik lelaki aku sebagai ketua rumah disebabkan adik beradik yang lain semua telah berkahwin dan berhijrah. Aku dan seorang kakak berlainan ibu masih tetap di Parit Raja. Tiga lagi adik beradik kakak aku yang sebapa dan seibu telah meninggal dunia. Seorang abang tiri dan seorang kakak tiri juga tinggal berdekatan dengan rumah arwah ibuku, mereka sangat baik dan ‘low-profile'. Alhamdulilah, hubungan kami semua walaupun bukan adik beradik kandung memang rapat sejak dari kecil lagi, mungkin pertalian darah yang ada menyebabkan kami saling menghormati antara satu sama lain, cuma kekangan masa yang membataskan aktiviti bersama. Namun setiap tahun silaturrahim keluarga tetap kembali utuh dengan saling membuat kunjungan.
Lebih kurang pukul 5.00 petang, kami minta izin untuk berehat di Homestay yang di tempah sejak awal lagi. Sebuah rumah banglow berdekatan rumah mertua adik bongsu aku menjadi tempat penginapan kami untuk dua malam. Kami semua bergegas untuk berehat. Maklumlah, perjalanan panjang hampir 10 jam, walaupun seronok, namun tetap memenatkan. Kami selesa berehat di rumah dan malamnya ke pekan kecil berhampiran untuk membeli pelbagai barang keperluan.
Esoknya, seawal jam 9.30 pagi kaum-kaum hawa telah meminta diri untuk ke rumah mertua adik bongsu aku untuk membantu semampunya. Suami pengurus percutian dan pakar bolasepak nampaknya cergas untuk menghantar mereka ke tempat majlis. Aku orang yang paling last, jam 1.00 petang ke tempat majlis selepas adik lelaki dan anak saudara lelaki ke sana pada jam 11 pagi. Apa lagi terus sambar kambing golek, nasi ayam dan macam-macam lagi hidangan. “Perut lapar sangat”, aku menyapa bapa mertua adik bongsu aku. Jam 5.30 petang, majlis selesai dan kami semua berehat sambil berbual-bual di laman rumah. Kambing golek dah tak bergolek kerana telah ¾ habis di makan oleh tetamu. “Alhamdulillah”, kata bapak mertua adik bongsu aku kerana majlis berjalan lancar. Semua rasa gembira dengan wajah kepenatan dapat aku lihat dengan jelas.
Selepas majlis, kami pulang semula ke homestay untuk berehat sebelum bertolak ke Kuala Perlis, subuh esoknya. Jam menunjukkan 8.00 malam, semua keluarga di ruang tamu berbual-bual. Kami menikmati kopi dan teh panas serta beberapa hidangan ringan yang lain. “Bagaimana dengan perjalanan esok, apa kata kita bertolak jam 1 pagi selepas tengah malam ni?” aku memberi cadangan. “Tujuannya untuk mengelakkan kesesakan pada esok hari dan pelbagai masalah luar jangka yang mungkin timbul. Maklumlah perjalanan mengambil masa lebih kurang 4 jam, lepas tu nak ke Kuala Perlis untuk urusan tiket, naik feri di Jeti lagi, tiba di Jeti Pulau Langkawi lagi, urusan ambil sewaan kenderaan lagi, bergerak ke homestay lagi, dan macam-macam lagi yang sudah tentu mengambil masa yang banyak”. Aku mencadangkan dengan bersungguh-sungguh. “Jika tiba awal, kita rehat, petangnya boleh jalan-jalan ‘survey’ tempat dan malamnya dah boleh santai-santai”. Aku sambung lagi.
Adik ipar aku yang memandu Hiluk mengangguk, sambil menoleh ke arah semua wajah-wajah di meja makan. Akhirnya semua setuju selepas perbincangan dan pendapat silih berganti. Kaum hawa dalam keluarga kami memang tak banyak 'songeh'. “Suka hati, drebar (driver) kata ok, kita orang ok”, adik ipar aku bercakap dengan suara perlahan. “Bestnya…” suaranya perlahan aje. Aku yakin, pendapat aku terbaik.
Jam 1 pagi kami semua telah mula bergerak ke Kuala Perlis. 1.40 pagi kami singgah di R&R Tapah, 3.45 pagi di R&R Semanggal, 5.45 pagi di R&R Gurun. Tanda jalan menunjukkan 82 km untuk tiba di Kuala Perlis. Semua masih bersemangat dengan secawan kopi di tangan sewaktu berbual-bual di setiap R&R yang kami singgah. Anak-anak kecil ada yang tidur di dalam kenderaan, yang dah besar sikit seronok ke sana-sini melihat tempat orang, walaupun dalam cuaca gelap tengah malam.
Jam 9.00 pagi kami selamat tiba di Kuala Perlis. Tiket feri jam 10.00 pagi”, suami pengurus perjalanan memberi info. Kesibukan dan kesesakan semuanya kami tempuh sebelum tiba di Homestay Langkawi jam 1.30 petang. Tanah bebas cukai ini terletak di Utara Semenanjung Malaysia yang menjadi tumpuan para pelancong tempatan dan antarabangsa. Keindahan kawasan pantai dan pelbagai tarikan lain memang menarik ramai pengunjung tempatan dan luar negara.
Pelbagai aktiviti kami susun untuk melengkapkan percutian 3 hari 2 malam di sini, antaranya melawat Water World, membeli-belah, aktiviti 'barbeque' dan santai-santai, menjelajah ke segenap gerai ubat-ubatan tradisional, Taman Pertanian Mardi, kawasan Lagenda Mahsuri;beras terbakar, dan lain-lain lagi. “Rasanya sudah cukup, mungkin lain kali kita datang lagi” kata pengurus percutian. Kami menggangguk dengan wajah gembira.
11 Disember, 1.30 petang, kami bertolak pulang dari Langkawi ke Jeti K.Perlis. Kira-kira 1 jam, kami tiba di jeti, mengambil kereta dan terus memandu ke Padang Besar. Di sini kami makan bersama-sama, berjalan-jalan sambil membeli belah. Lebih kurang jam 7 malam kami bersalam-salaman antara satu sama lain, sebelum bertolak pulang menuju destinasi. 3 buah kereta ke Selatan, 2 buah ke Kuala Lumpur dan 1 ke Kuantan.
9.30 malam, kami berjumpa semula di R&R Gurun. 1.22 pagi berehat di R&R Tapah hingga 3.30 pagi. Pada 5 pagi aku dan isteri berehat sekali lagi di hentian sebelah Sungai Buloh. 7.30 pagi bertolak semula dan tiba di R&R Seremban pada jam 8.00 pagi. Kami tiba di Restoran Jejantas Air Keroh jam 9.45 pagi dan tidur sebentar.
Aku dan isteri membuat keputusan ke Bandaraya Melaka untuk check-in. Jam 1 petang pada 12.12.2019 kami check-in di Esthadia Hotel dan berehat.
Pada petangnya kami berjalan-jalan di kawasan tumpuan pelancong, duduk di tebing Sungai sambil melihat Cruise bergerak membawa pelancong bersiar-siar. Esoknya, jam 6.00 petang, aku dan isteri selamat tiba di rumah di Taman Universiti Parit Raja. Alhamdulillah. Message di Whatsapp juga memberitahu bahawa semua keluarga telah sampai ke destinasi dengan selamat.
Seminggu berehat di rumah menguruskan bil-bil dan barang-barang serta upah kontraktor yang menjalankan penambahan di rumah aku. Setelah memastikan semuanya berjalan lancar, aku dengan gembira membuat keputusan ke Kuala Lumpur untuk menguruskan pinjaman dan pemulangan buku-buku di Library U.I.A. Pada 20.12 2019 jam 4.30 petang semua urusan selesai. Isteriku mencadangkan kami berehat di Cameron Highlands. Tanpa berfikir panjang, aku terus terus memandu ke sana walaupun agak puas juga ke kawasan peranginan terkenal ni. Jam 6 petang kami tiba di R&R Tapah. 8.25 malam, selepas menempuh perjalanan malam yang berliku kami selamat tiba di Tanah Rata Cameron Highlands. Kami meneruskan perjalanan bengkang-bengkok tersebut sejam lagi sebelum selamat tiba di Brincang jam 10.30 malam lalu check-in di Brincang Budjet Hotel di bawah kelolaan OYO. Kemudian pada malam ke dua dan ke tiga kami check-in di Big Red Budjet hotel . Alhamdulillah, selesa. Di Cameron Highlands, kami ke Boh Teh Factory, taman-taman strawberry dan memetik strawberry, pasar malam terpanjang, dan taman-taman bunga yang sangat memukau pandangan mata kerana kecantikkannya. Suhu di Cameron Highlands lebih kurang 17’celcius, rasa selesa dan ok.
Pada 23.12.2019 jam 8.16 pagi kami bertolak turun dari Cameron Highlands dengan membeli beberapa barangan sebagai buah tangan kepada kenalan dan keluarga. Jam 8 malam, kami membuat keputusan untuk check-in di Pengkalan Balak, Melaka untuk berehat kerana kepenatan. Kami membersihkan diri di Homestay dan terus masuk tidur. Esoknya, pagi-pagi lagi kami dah bersiar-siar di kawasan tepi pantai sewaktu mencari sarapan pagi. Persekitaran yang menarik untuk bersantai dan beriadah bersama keluarga dengan pemandangan yang juga agak menarik untuk menenangkan minda. Jam 11 pagi kami check-out dan bertolak ke Johor. Anggaran jam 5.30 petang kami selamat tiba di rumah buat kali kedua dalam 2x perjalanan panjang sewaktu mengisi masa pada cuti persekolahan 2019. Alhamdulillah.
Comments
Post a Comment