Pulau Tioman 2009201522092015
Assalamualaikum... hampir sebulan percutian ke Pulau Tioman telah berlalu dan baru hari ini aku berkesempatan untuk meluangkan masa mencoret serba sedikit pengalaman dan kenangan mengenainya.
Ringkasnya, Pulau
Tioman memang kaya dengan ikan-ikan yang sangat cantik dan indah. Aktiviti yang
sesuai di sini ialah ‘snorkelling’, ‘high speed boat riding’ ke sekeliling Pulau
Tioman sambil menikmati keindahan biru air laut yang terbentang luas dan
pepohon yang menghijau, mandi manda di pantai, mandi manda di air terjun, berjalan-jalan
di persisir pantai sambil menunggu kemunculan mega jingga menandakan terbenamnya matahari, bersantai di
gerai-gerai makanan dan minuman dengan alunan muzik pada waktu malam, melihat
pancaran cahaya lampu pada air laut pada
waktu malam sambil berehat di jeti dan memberi makan pelbagai jenis ikan yang sememangnya
cantik-cantik. Oh…. sungguh indah kenangan ini dan aku bersyukur amat sangat
dengan segala ciptaan Yang Maha Esa.
Hari Pertama:
Aku dan
isteri bertolak awal pagi sebelum subuh lagi ke Mersing untuk membuat tempahan
awal penginapan di Pulau Tioman. Sebenarnya kami berdua telah mendapat sedikit
maklumat sehari sebelum bertolak ke Pulau Tioman sewaktu bersama-sama isteri
menjalankan Kem Motivasi murid-murid Tahun 6 SK Pintas Puding di Pulau Borek.
Saya telah meluangkan masa membantu guru-guru tempat isteri bertugas melakukan
aktiviti-aktiviti yang dirancang. Selesai sahaja Kem Motivasi selama dua hari,
saya dan isteripun ‘usha’ di beberapa agensi pelancongan yang masih beroperasi
di sekitar Jeti Mersing pada petang tersebut. Setelah puas hati, keputusan
dibuat untuk pulang dahulu dan datang semula pada keesokan harinya.
Keesokkannya
kami tiba di Mersing seawal 7.30 pagi, bayar parking kereta RM36 untuk 2 hari,
membuat tempahan chalet di Kg. Salang dengan harga RM370 untuk 2 hari dua malam
dan terus bersarapan. Kemudian, kami mendapatkan tiket-tiket feri yang berharga
RM35.00 seorang untuk perjalanan sehala dan RM20 untuk tiket-tiket lawatan ke
Taman Laut Malaysia dan Taman Negara. Setelah selesai semua urusan, kami berehat
di dalam kawasan jeti sambil menunggu ketibaan feri jam 11:00 pagi, itupun bergantung
kepada air pasang surut. Feri tiba jam 11.30 pagi dengan perjalanan memakan
masa 2 jam lebih. Jam 3.15 petang kami selamat sampai
di Jeti Kg. Salang. Wow…. ! keindahan panorama yang memukau, dapat mendamaikan
jiwa dengan perasaan terpegun melihat kejernihan air laut di Pulau Tioman. Kami
terus ‘check in’ di chalet yang ditempah. Walaupun kondisi bilik yang mendukacitakan
namun Alhamdulillah… dapat ditukar dengan chalet yang lebih selesa. Aku rasa selesa dapat berehat.
Malam:
Selepas maghrib kami berdua makan di
restoran betul-betul di hadapan tempat penginapan kami sambil menikmati
pemandangan air laut yang berkilau dengan refleksi cahaya lampu dari
chalet-chalet dan gerai-gerai di di tepi pantai. Selepas itu, kami
berjalan-jalan di sepanjang jeti sambil memberi roti kepada ikan-ikan. Penat
sungguh, maklumlah 3 hari tidak cukup rehat. 10.30 malam kami sudah berada di
dalam chalet dan merebahkan badan dengan penuh bersemangat.
Hari
Kedua:
Hari dengan semangat yang
berkobar-kobar. Tempahan untuk mengelilingi pulau bernilai RM200 untuk dua
orang, lengkap dengan alat snokerling. Cuma isteri aku terpaksa mencari ‘google
gear’ yang ada ‘power’ kerana matanya yang perlu ‘protection’ tambahan. 10.30
pagi bertolak dengan bot laju bersama-sama sekumpulan pelancong lain seramai 8
orang. Dalam trip ini kami berpeluang mengelilingi keseluruhan pulau, snokerling
sebanyak 3 kali, mandi manda 2 kali termasuk di air terjun yang sangat cantik,
singgah makan tengahari di Perkampungan Tekek dan memberi makan ikan-ikan di
Taman Laut. Kawasan ini adalah kawasan
yang paling maju dengan kemudahan-kemudahan seperti jalan raya, bas, pejabat
pos, bank, sekolah dan lain-lain. Kawasan persekitarannya juga dipenuhi dengan tempat-tempat
yang panoramanya cantik dan menarik. Ramai pelancong tempatan mahupun luar negara dapat
dilihat sedang melakukan pelbagai aktivti di tepi-tepi pantai.
Selepas makan, kami bergerak ke taman
laut, kemudian ke air terjun yang memerlukan pendakian selama 15 minit untuk
sampai ke kawasan utama. Sangat mengasyikkan dengan persekitaran hutan simpan
yang menghijau. Bagi yang tidak berminat, mereka boleh berehat di jeti sambil
memberi makan ikan-ikan yang berwarna warni dan sesetengahnya ada yang sebesar
betis lelaki dewasa. Memang pengalaman yang sangat mengujakan. Akhir sekali kami
bertolak pulang dan singgah di satu persisir pantai untuk sekali lagi bersnokerling.
Alhamdulillah………. puas rasanya. Jam 4.20 petang bot dipandu dengan laju dengan
perasaan yang sangat seronok di tampar hembusan angin laut menuju ke Jeti
Salang menandakan aktiviti “Round Island’ berakhir. Seronok, lega dan puas
itulah gambaran yang dapat dilihat pada setiap wajah pelancong yang
bersama-sama kami.
Kami kemudian meluangkan masa selama
30 minit bersnokerling di gigi pantai dengan kedalaman 4 hingga 5 meter untuk
melihat ikan-ikan yang berwarna-warni berenang-renang di dalam laut. Rasa
penat….kami naik ke darat, memulangkan semua alatan dan terus membersihkan
diri.
Malam:
Laungan azan berkumandang di suaru
berhampiran. Sungguh syahdu sambil memandang hamparan laut yang luas sesayup
mata memandang pada waktu senja. Jerebu
telah menghalang kemunculan mega jingga dengan awan gelap menyelubungi
semua penjuru langit. Bersiap dan bersantai di kafe berhampiran, minum sambil
mendengar lagu dan memandang garisan-garisan cahaya di permukaan lautan. Oh….hatiku
tenang, hati isteriku tenang dan kami gembira bersama. “Jom rehat, 4.30 pagi
feri akan membawa kita pulang ke Jeti Mersing,” aku bersuara. Isteri mengangguk
dan kami tidur dengan kelopak mataku rasa berat betul untuk di buka. Jam pada
waktu itu telahpun menunjukkan 10.45 malam. Jam 4.10 pagi kami telah sedia
menunggu di jeti. Aku termenung penuh kesyahduan. “Percutian pendek dan sangat
menyenangkan”, aku berbisik kepada isteri. Feri tiba tepat pada masanya,
mengambil semua penumpang pada setiap jeti kawasan pelancongan, bertolak ke Mersing dengan memberikan satu
lagi kenangan dalam diari kehidupan aku bersama isteri tersayang. Terima kasih
Pulau Tioman. Jika diizinkan aku akan kembali lagi untuk menikmati keindahanmu,
ciptaan Yang Maha Berkuasa untuk kita sama-sama menjaganya.
Comments
Post a Comment