KAMI KE CAMERON HIGHLANDS
 “Dah sampai cikgu, awal?” tanya seorang bapa kepada saya. “Alhamdulillah”, jawab saya ringkas. Jam menunjukkan pukul 10.30 malam. Murid-murid mengambil barang-barang mereka dan bergerak pulang dengan longlai bersama penjaga masing-masing.  Peh…… lega rasanya apabila lawatan ke Cameron Highlands bersama murid-murid SK Seri Gading selesai.
Apa yang menarik tentang Cameron Highlands? Pertamanya, tentulah lembah-lembah yang dibentuk menjadi ladang-ladang  teh yang terbentang luas. ‘TEH’ merupakan ‘signature‘ bagi Cameron Highlands. Kebun teh pertama dibuka pada tahun 1929 oleh J.A. Russell seorang pembantu di Straits Trading Company. Namun orang yang bertanggungjawab meletakkan Cameron Highlands pada peta Malaysia ialah Ketua Setiausaha, Sir George Maxwell (1920-1926) setelah Juru ukur kerajaan, William Cameron menjumpai tanah tinggi ini dalam satu expedisi pemetaan pada 1885. Pusat peranginan terbesar di Malaysia yang dinamakan Cameron Hidhlands ini terletak kira-kira 1800 meter dari aras laut. Tiga pekan kecil utama iaitu Ringlet, Tanah Rata dan Brinchang merupakan tempat kunjungan pelancong yang paling popular. Mudah untuk ke Cameron Highlands, melalui Tapah jika dari arah Selatan dan melalui Simpang Pulai jika mulanya dari arah Utara.
Add caption
Perjalanan kami bermula pada jam 11.00 malam setelah semua murid selesai mendengar taklimat dan berdoa di hadapan sekolah. Lebih kurang pukul 4.45 pagi kami berhenti rehat di R&R(Rehat dan Rawat) Tapah untuk solat subuh dan bersarapan sebelum bertolak semula menaiki Tanah Tinggi Cameron Highlands. Cuaca dingin mencengkam tubuh tetapi tidaklah sesejuk 24 tahun dahulu (1992) ketika pertama kali saya menjejakkan kaki ke Cameron Highlands.  Masa itu, hembusan nafaspun keluar asap terutama pada waktu pagi.  Lebih kurang dua jam perjalanan sebelum kami berhenti di persimpangan Ringlet untuk melihat kebun Strawberry yang hidup segar. Pepohon renek ini berderetan di atas pepara khusus dengan penggunaan teknologi penanaman terkini atau umumnya dikenali sebagai Rumah Hijau. Di sini, kami juga boleh menyusur ladang bunga lavender dengan bayaran RM5. Oleh kerana kesuntukan masa, kami hanya mengambil gambar-gambar  sebelum bertolak ke tempat seterusnya.

Destinasi utama ialah sebuah pasaraya ‘Bee Farm’ yang mana persekitarannya diliputi tamanan yang  menghijau dan pepohon bunga berwarna-warni yang hidup subur. Selain membeli belah, para pengunjung  boleh berjalan-jalan sambil menikmati udara segar dan panorama indah. Di sini pengunjung boleh membeli pelbagai jenis cenderahati dan barangan. Saya juga tidak ketinggalan membeli madu-madu untuk diberikan kepada sahabat handai.  Madu-madu lebah ini terdiri daripada pelbagai spesis yang diisi dalam ‘straw’ dengan harga yang sangat berpatutan. 
   
Dari pasaraya ‘Bee Farm’ kami bertolak dengan menaiki bas mini ke salah satu daripada puncak-puncak cerunan bukit di Cameron Highlands untuk melawat kilang pemprosesan teh yang terkenal  iaitu “SYARIKAT BOH MALAYSIA”. Boh mempunyai empat kebun teh di Malaysia, tiga di Cameron Highlands dan satu di Bukit Cheeding, Tanah Pamah di negeri Selangor. Laluan sempit dengan jurang yang curam dan berliku dilereng-lereng bukit sepanjang perjalanan  menambah debaran di dada kami. Mana tidaknya,  hanya 7 inci sahaja tayar bas dibezakan dengan tepian gaung curam, Walaubagaimanapun ‘uncle’ berketurunan India yang mengendalikan stering bas hanya tersenyum sahaja mendengar jeritan murid-murid yang kelihatan cemas.
  Maklumlah sudah lebih 50 tahun pengalaman dengan selok belok laluan di situ. Hampir 35 minit perjalanan berliku, akhirnya kami sampai ke destinasi. Di sini kami sempat melihat cara serbuk teh di proses bermula daripada proses penggilingan hingga ke proses akhir iaitu proses pembungkusan. Malahan keterangan beserta gambar mengenainya juga dipaparkan pada dinding-dinding di sepanjang laluan kilang tersebut. Pengunjung juga boleh menonton tayangan video mengenainya secara percuma. 
 Sesuatu yang mengujakan ialah bersebelahan kilang ini disediakan platform atau pelantar beserta sudut santai untuk pengunjung menjamu selera. Pengunjung-pengunjung boleh menikmati hidangan dan minum pelbagai minuman berasaskan teh di atas platform sambil menikmati panorama disekelilingnya. “Wow…….!”. Sangat seronok, indah dan menarik sekali, itulah yang boleh kita simpulkan dalam perasaan. Disamping itu, pengunjung boleh turun ke bawah menyusuri anak-anak tangga yang disediakan sambil bersiar-siar di taman dan kawasan kebun teh yang tebentang luas. Mereka juga dibenarkan mengambil gambar, menyentuh dan memetik daun teh tersebut.
Jam 1.30 petang, kami berada di Brincang untuk membeli barangan. Sudah tentulah kami akan membeli strawberry segar yang baru dipetik dari ladang. Pada saya ini merupakan ‘signature’ ke dua tarikan para pengunjung ke Cameron Highlands. Menurut makluman pemilik kedai “Raju’s Hill Strawbery Farm”, RM30.00  akan dikenakan untuk sekilo strawbery yang dipetik sendiri.  Selain itu, harga bagi 3 peket strawberry ialah RM10.00 dan RM5 untuk 2 peket kecil.  Manakala asam strawberry pula berharga RM10 untuk satu peket (Sedap sekali dong.......). Oleh kerana sebahagian besar murid-murid ingin membawanya pulang, kami diminta menulis pesanan dan ‘Sale Executive’ mereka akan menghantarnya  pada keesokan hari sebelum kami bertolak pulang. Bagi yang ingin merasai keenakannya, 2 pinggan besar diberikan secara percuma. ”Emmmmmmm….memang sedap”, bisik saya dalam hati, dengan rasa masam-masam manisnya. 

Lebih kurang pukul 3.15 petang, kami telahpun berada di hotel Jasmine.  Ketua rombongan  bergegas mengarahkan murid-murid beratur mengikut kumpulan masing-masing  dan masuk ke dalam bilik. Kami berehat, solat dan seterusnya menikmati juadah berat yang dibeli di sekitar kawasan hotel tersebut.
Malam ini cuacanya dingin sekali, mungkin kurang daripada 16 darjah celcius agaknya. Memang sejuk. Saya bertugas mengawal kumpulan murid-murid  yang ingin ke pasar malam di kawasan berhampiran. “Jam 10 semua mesti naik ke hotel dan masuk tidur”, jerit saya. Semua murid mengangguk faham. Selepas makam roti canai dan minum segelas air teh tarik, saya terus memastikan semua murid telah masuk ke bilik masing-masing. Rasa lega di kepala   kerana semuanya sudah beres.  Saya masuk ke bilik, bersihkan diri, baring di atas katil, tekan ‘remote’ menonton filem aksi Chanel HBO dan 15 minit kemudian terlena. 
Jam 6.30 pagi keesokannya, saya telah siap berada di hadapan lobi hotel. Udara sangat segar di luar. Jam 7.30 pagi semua murid berkumpul dan menerima arahan seterusnya. Jam 8.00 kami menaiki bas ke pasar pagi Brincang.
Seterusnya, kami singgah ke” Cameron Valley” yang dimiliki oleh Bharat Goup. Mengikut sejarahnya, kawasan ini di buka seawal tahun 1933.  Ada kedai mini dengan pelbagai perasa teh asli Cameron Highlands.  Ada juga tempat pengunjung bersantai sambil menikmati minuman sejuk dan panas serta kek pelbagai rasa yang semestinya enak. Lembah-lembah dengan deretan pepohon teh menghijau dan air terjun mini yang mengalir menuruni lereng bukit diantara pepohon teh melengkapkan pemandangan indah setiap penjuru kawasan tersebut. 

 

Belum penat rasanya membeli belah di pasar pagi brincang yang seakan-akan pasar tani di Parit Raja, kami pun singgah ke Mardi Cameron Highlands kira-kira 1 jam. Di sini kami melihat pelbagai aktiviti yang dijalankan seperti cara penanaman srawbery dan sayur-sayuran serta aktiviti lainnya dengan bayaran RM3.00 (dewasa) dan RM1.50 (kanak-kanak).
Berbalik semula di pasar pagi Cameron Highlands, sudah semestinya banyak dipenuhi  Strawberry segar dan kering dengan harga yang benar-benar munasabah. Sayur-sayur segar merancakkan lagi aktiviti jual beli di kawasan tersebut. Pelbagai cenderahati, madu lebah pelbagai rasa dan banyak lagi barangan keperluan yang menjadi pilihan pengunjung ada di sini .
Pada akhir lawatan, kami sempat singgah di Lata Iskandar di Hutan Simpan Bukit Tapah. Lokasi ini betul-betul di akhir laluan untuk menuju ke persimpangan utama menghala ke Lebuhraya Utara Selatan.  Masuk sahaja ke lebuhraya tersebut, kami singgah solat Zuhur dan Asar (Qasar dan Jamak Taqdim) dan membeli belah di hentian Tapah. Kira-kira pukul 4.35 petang bas bergerak memasuki simpang lebuhraya utama untuk terus pulang ke destinasi permulaan perjalanan kami.

LAWATAN SAMBIL BELAJAR KE CAMERON HIGHLANDS
23, 24 DAN 25 SEPTEMBER 2016
TEMPAT MENGINAP: HOTEL JASMINE,  BRINCANG, CAMERON HIGHLANDS


Sebelum bertolak, murid-murid diminta melakukan solat sunat musafir dan solat sunat hajat di rumah dengan tujuan dipermudahkan segala urusan dan selamat dalam perjalanan.


TARIKH

MASA

TEMPAT YANG DILAWATI(JANGKAAN)

23.09.2016
Jumaat

10.30 malam

Berkumpul di dataran sekolah.

11.00 malam

Bertolak ke Simpang Pulai /Tapah

24.09.2016
Sabtu






5.00 pagi

Tiba di Simpang Pulai
(Mandi, solat subuh, sarapan)

7.00 pagi

Bertolak ke Cameron Highlands

10.00 pagi

Melawat Taman Agro, Ladang Teh dan Ladang Strawberry.

1.00 petang

Makan Tengahari

2.00 petang

Check in di Hotel Jazmine
(Mandi, solat, berehat)

5.00 petang

Ke Pasar Malam Berinchang

7.30 malam

Solat dan Makan Malam

10.00 malam

Solat, Masuk Tidur

25.09.2016
Ahad



6.00 pagi

Mandi dan solat subuh.

8.00 pagi

Bergerak ke Kuala Lumpur untuk melawat Galeri Seni.
*Jika masa atau keadaan tidak mengizinkan, tempat lawatan akan hanya bertumpu di sekitar Cameron Highlands sahaja.

2.00 petang

Bergerak Pulang ke Batu Pahat

9.30 malam

Tiba di SK Seri Gading

BAS B:
Guru Pengiring: Puan Zainun, Encik Mohd Azhar, Puan Ruziana dan Puan Roslinda

 
BAS A:
Guru Pengiring: Ustaz Razali, Puan Hafizah, Puan Aishah dan Cik Atikah


*****/*******
1. Secara peribadi saya mencadangkan agar aspek kebersihan perlu diberi perhatian serius.
2. Pelebaran jalan juga sangat perlu
3. Pemuliharaan hutan atau bahagian-bahagian tertentu di bahagian puncak dan kaki bukit supaya panorama indah dan udara segar tidak terjejas. .
4. Kawal selia pembangunan supaya dapat dilakukan dengan terancang agar kejadian banjir lumpur yang meragut nyawa seperti pada tahun 2014 tidak berulang.
5. Hentikan pembangunan besar-besaran di Cameron Highlands 15 tahun dari sekarang.


Comments

Popular posts from this blog

BAHASA MELAYU: ASAS 3M + 2M

BAHASA MELAYU: TAHAP 1